Nicola Tesla (10 Julai 1856 - 7 Januari 1943)
Nicola Tesla merupakan seorang pereka, ahli fizik, jurumekanik dan jurutera elektrik. Beliau dilahirkan di Smiljan, Croatia dan menjadi warganegara Amerika Syarikat semasa dewasa. Kerja penyelidikannya merupakan asas penciptaan arus elektrik ulang-alik (AC) yang digunakan oleh kebanyakan perkakas elektrik hari ini. Beliau merupakan penyumbang utama di dalam penciptaan barangan elektrik serta lebih dikenali hasil daripada penyelidikannya yang menghasilkan revolusi di dalam pembangunan bidang elektromagnetik pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Paten dan teori kerja beliau menjadi asas kepada teori arus ulang-alik moden, sistem kuasa elektrik termasuk sistem polifasa elektrik yang digunakan dalam pengagihan elektrik. Tesla juga pernah menjadi pembantu kepada Thomas Edison. Unit ukuran SI untuk medan magnet (B), dikenali sebagai Tesla. Ia dinamakan sempena menghormati sumbangan beliau di dalam kemajuan bidang elektrik.