Isnin, 25 Jun 2018

Al-Biruni

Al-Biruni (973 Masihi - 1048 Masihi)

     Nama sebenarnya ialah Abu Rayhan Muhammad bin Ahmad Al-Biruni. Dilahirkan pada 3 Zulhijjah 362 Hijrah bersamaan 973 Masihi di Khwarzm. Perkataan biruni adalah bahasa Parsi yang bermakna orang asing. Beliau dianggap saintis agung Rusia kerana dilahirkan dalam wilayah kesatuan Rusia ketika itu. Kejayaan Rusia menghantar roket pertama Sputnik ke angkasa lepas ada hubungan dengan warisan astronomi Islam di rantau yang dipelopori oleh Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Tusi dan lain-lain.
     Beliau menguasai bahasa Arab, Persia, Ibrani, Yunani, Sanskrit, Hebrew dan Syria. Sejak remaja lagi beliau sangat mencintai ilmu. Beliau juga merupakan seorang saintis unggul abad ke-11 dan pakar dalam astronomi, fizik, botani, matematik, sains tabii, kedoktoran, farmasi, geometri, aritmatik, algebra, geografi, bahasa dan sejarah. Beliau juga petah bercakap dan berpidato.
     'Rasan il Al-Biruni' adalah ensiklopedia astronomi dan matematik menjadi karya beliau yang teragung. 'Al-Qanun Al-Mas'udi' juga merupakan karya beliau dalam bidang astronomi. Beliau pernah dihadiahkan wang dan emas oleh Khalifah Al-Mas'udi selepas selesai menulis 'Al-Qanun Al-Mas'udi'. Walau bagaimanapun beliau menolak hadiah tersebut kerana beliau berkarya disebabkan cintanya yang mendalam terhadap ilmu dan bukan kerana keuntungan dunia.
     Al-Biruni adalah orang pertama membuktikan rumus sinus bagi satah segi tiga. Oleh kerana beliau seorang yang sangat mencintai ilmu, maka kebanyakan masanya ditumpukan kepada kerja-kerja penyelidikan dan penulisan. Dalam setahun, cuti beliau hanya dua kali sahaja iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Antara sifat-sifat yang ada pada diri beliau adalah berpegang kuat kepada agama, suka mengembara, tidak suka membuang masa, mempunyai hubungan yang rapat dengan cendekiawan Muslim mahupun Kristian dengan tujuan mempelajari ilmu. Manakala Ibnu Sina merupakan sahabat karibnya.
     Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 1048 Masihi, beliau masih berbincang dengan teman-teman yang berada di sekelilingnya tentang permasalahan yang belum dapat diselesaikan. Semasa dalam keadaan uzur pun, beliah masih sempat menulis buku berjudul 'Al-Saydanah'. Menurut Al-Razi, jumlah karya Al-Biruni ialah sebanyak 138 buah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan