Archimedes (287 Sebelum Masihi - 212 Sebelum Masihi)
Archimedes ialah seorang saintis dan matematik Yunani. Beliau dilahirkan di Syracuse, Sicily. Archimedes memperolehi idei fizik yang terkenal iaitu Prinsip Archimedes ketika beliau sedang mandi. Prinsip ini menyatakan daya julangan ke atas yang dialami oleh satu jasad yang tenggelam dalam cecair adalah sama dengan berat cecair yang disesarkan oleh jasad itu.
Suatu hari, Raja Syracuse memerintahkan tukang emasnya membuat mahkota diraja dengan menggunakan logam emas tulen. Namun, Raja Syracuse mengesyaki bahawa tukang emas itu telah menipunya dengan mencampurkan perak bersama emas untuk membuat mahkota diraja tersebut. Archimedes akhirnya telah diperintahkan untuk menyiasat kandungan mahkota tersebut. Lantas beliau mula berfikir kaedah untuk mengetahui kandungan dalam mahkota tersebut tanpa meleburkannya.
Tanpa disedari beliau mendapat idea untuk menyelesaikan masalah ini ketika masuk ke dalam tab mandinya di Syracuse. Air di dalam tab melimpah keluar ketika beliau masuk ke dalam tab itu. Archimedes terfikir bahawa idea ini boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah mahkota diraja itu. Archimedes menimbang mahkota itu dan mendapatkan bacaan beratnya. Selepas itu, dia mengambil sebongkah emas tulen dan menimbangnya supaya mempunyai berat yang sama dengan mahkota itu.
Selepas itu dia menenggelamkan kedua-kedua emas tulen dan mahkota itu ke dalam air. Akhirnya, beliau mendapati mahkota itu melimpahkan air lebih banyak daripada emas tulen. Ini bermakna mahkota itu mengandungi isipadu yang besar dan ringan berbanding emas tulen. Archimedes pun membuat kesimpulan bahawa mahkota itu adalah campuran emas perak dan bukannya emas tulen. Tukang emas itu didapati bersalah dan dihukum bunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan