Isnin, 25 Jun 2018

Al-Razi

Al-Razi (865 Masihi - 925 Masihi)

     Nama sebenarnya ialah Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi. Di Barat beliau dikenali dengan nama Razhes. Dilahirkan pada tahun 251 Hijrah/865 Masihi di Ray, Utara Iran. Beliau adalah cendekiawan abad ke-8 dan 9. Ibnu Sina pernah berguru dengan beliau. Pada usia remaja, beliau amat meminati muzik, nyanyian syair.
     Minatnya terhadap muzik telah ditinggalkan apabila meningkat dewasa kerana beliau tidak suka membazirkan masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Al-Razi adalah seorang yang rajin membaca dan menulis walaupun disinari dengan nyalaan lilin pada malam hari. Selepas itu, beliau mula mempelajari ilmu kimia, falsafah, logik, matematik, kedoktoran dan fizik.
     Untuk meningkatkan kefahamannya dalam ilmu-ilmu ini, beliau telah mengembara ke kota Baghdad ketika usianya 30 tahun. Al-Razi telah mendapat gelaran sebagai Gale dan ahli perubatan kelas pertama meskipun beliau menceburi bidang perubatan selepas usianya 30 tahun. Beliau telah menjadi doktor yang terkenal ketika berusia 40 tahun dan telah mengetuai rumah sakit Bimaristan Adhdi.
     Seluruh hidupnya dihabiskan dalam bidang perubatan. Beliau banyak berguru dengan tokoh-tokoh cendekiawan untuk mendalami bidang ilmu yang luas ini. Beliau adalah orang pertama menggunakan konsep ilmu kimia dalam perubatan. Al-Razi adalah pengasas kimia moden menyamai konsep kimia pada masa kini, hingga beliau menjadi buta akibat terkena asid sulfurik ciptaannya sendiri. Beliau juga merupakan doktor pertama yang menjumpai penyakit cacar.
     Hasil penulisan tidak kurang daripada 230 karya yang terdiri dari pelbagai bidang seperti muzik, politik, logik, ketuhanan, kimia, psikologi, sains, geografi, perubatan, pembedahan dan rawatan mata. 'Al-Hawi' merupakan karya perubatan beliau yang terbesar menjadi bahan rujukan di Perpustakaan Fakulti Perubatan Paris di Perancis pada 1395 Masihi dan di Eropah selama beberapa abad lamanya. Beliau adalah saintis pertama menggunakan alkohol dan dadah dalam perubatan, menerangkan penyakit katarak dan membezakan penyakit cacar dan campak.
     Pakar bedah yang terkenal ini juga merupakan perintis bidang pediatrik, ophthalmologi dan obstetrik. Beliau adalah doktor perubatan yang inovatif. Untuk mendirikan hospital di sesuatu tempat, beliau akan memastikan tapak hospital itu benar-benar  selamat. Pemilihan tapak hospital dibuat dengan cara menggantungkan daging mentah di beberapa tempat.
     Kawasan yang paling sesuai dijadikan tapak hospital adalah tempat di mana daging mentah paling lambat menjadi busuk. Untuk membanti proses pemulihan pesakit, Al-Razi menyarankan agar doktor memberikan komen yang positif dan penuh semangat kepada pasakit. Sementara kepada pasakit, beliau mengingatkan supaya tidak bertukar-tukar doktor kerana akan membazirkan kesihatan, masa dan wang mereka sendiri.
     Beliau juga seorang pemurah terutamanya kepada fakir miskin. Mereka diberikan rawatan percuma atau bayaran yang paling minima. Beliau memberikan nasihat kepada sesiapa yang ingin menjadi doktor agar komited kepada tugas, tidak minum arak, rapat kepada pesakit, menjaga harta diri pesakit, menyimpan rahsia pesakit, menjaga akhlak ketika mengubati pesakit wanita, tidak sombong dan bangga diri. Beliau meninggal dunia pada tahun 925 Masihi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan