Selasa, 26 Jun 2018

Al-Khazini

Al-Khazini (Abad ke-12)

     Nama sebenarnya ialah Abu Fath Abdu Ar-Rahman atau Abdu Ar-Rahman Mansur Al-Khazini. Beliau dilahirkan di Merv (Turkmenistan) dan berbangsa Greek. Ayahnya adalah seorang hamba dari tawanan perang. Oleh itu beliau mewarisi status ayahnya sebagai hamba. Kedua-kedua ibu bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kecil. Beliau telah menunjukkan minat untuk belajar dengan mengunjungi perpustakaan sejak kecil.
     Ketika berumur 15 tahun, beliau telah memohon kepada tuannya, Ali Marwazi untuk bekerja di perpustakaan. Melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Al-Khazini, Ali Marwazi bersetuju untuk membenarkannya bertugas di perpustakaan. Ali Marwazi dapat merasakan bahawa Al-Khazini bakal menjadi cendekiawan pada suatu hari nanti. Al-Khazini menggunakan peluang bekerja di perpustakaan dengan membaca seberapa banyak buku untuk menimba ilmu pengetahuan.
     Setiap malam, beliau menimba ilmu pengetahuan melalui kuliah yang kedengaran melalui tingkap-tingkap istana. Ini membuatkan Ali Marwazi terharu dan mengajak Al-Khazini bersamanya mengikuti kelas-kelas ilmu yang dijalankan di istana, rumah-rumah ulama, majlis ilmu di masjid dan mengaji kitab. Kecintaan Al-Khazini yang mendalam terhadap ilmu menyebabkan Ali Marwazi memerdekakan beliau. Al-Khazini tidak menoleh ke belakang lagi melainkan terus mempelajari bahasa Yunani, Parsi, Arab, astronomi, fizik dan ilmu-ilmu agama.
     Sifat tidak menyombong diri menyebabkan ramai guru menyukai dan menyenanginya. Walaupun pernah menjadi orang kepercayaan sultan, tetapi beliau tetap bersikap rendah diri sehinggakan sultan ingin menghadiahkan istana untuknya disebabkan kedudukan ilmu yang tinggi dan sempurna. Namun demikian Al-Khazini terpaksa menolak dengan baik tawaran tersebut kerana cintanya terhadap ilmu melebihi daripada segala-galanya. Beliau pernah berkata, "Darjat seseorang ditentukan oleh akal dan ilmu yang dimilikinya dan bukan kehebatan tempat tinggalnya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan