Al-Farabi ( 870 Masihi - 950 Masihi)
Nama sebenarnya ialah Abu-Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarhan Ibnu Awlazagh Al-Farabi. Beliau adalah cendekiawan Islam abad ke-10. Di Barat, beliau dikenali sebagai Alpharabius. Dilahirkan di Turkistan pada tahun 257 Hijrah bersamaan 870 Masihi dalam suasana keluarga yang miskin. Bapanya adalah seorang tentera. Walau bagaimanapun, kemiskinan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang.
Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan kecerdasan yang luar biasa. Al-Farabi telah dihantar oleh bapanya ke Baghdad untuk berguru dengan Yohanna bin Hailan seorang tokoh beragama Kristian. Beliau mempelajari tentang bahasa, matematik, geografi dan lain-lain ilmu dari tokoh ini. Selepas tamat berguru dengan Yohanna beliau mempelajari tentang falsafah, perubatan, ilmu bintang, falak, ilmu hukum dan lain-lain.
Beliau amat terkenal sebagai seorang pakar dalam pelbagai bidang disebabkan beliau meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Maka tidak hairanlah beliau mampu menguasai banyak bahasa sepertu bahasa Arab, Turki, Farsi, Syria dan Greek. Al-Farabi adalah seorang pemuzik yang handal kerana lagunya mampu membuat penonton menangis, ketawa ataupun tidur. Beliau merupakan pencipta alat muzik yang bernama gambus. Oleh kerana ilmunya yang tinggi, beliau pernah dilantik menjadi hakim tetapi selepas itu meninggalkan jawatan tersebut untuk menimba ilmu.
Beliau adalah seorang yang suka mengembara untuk mencari ilmu sama ada di Bukhara, Khurasan, Baghdad, Harran, Konstantinopel dan Damsyik. Ilmu beliau dalam bidang perubatan sangat tinggi tetapi beliau tidak menjadikan perubatan sebagai kariernya. Sebagai seorang yang kuat pegangan agama, beliau suka berpakaian seperti ahli tasawuf dan bersikap zuhud. Beliau dianggap guru kedua selepas Aristotle kerana ilmunya yang tinggi dalam falsafah.
Ada riwayat mengatakan bahawa beliau pernah membaca buku metafizik Aristotle sebanyak 100 kali untuk memahaminya. Beliah pernah berkata, "Al-Farabi masih tetap berasa perlu untuk terus mengulang bacaanya lagi.". Al-Farabi telah menulis lebih daripada 100 karya dalam bidang logik, politik, metafizik, fizik, perubatan, sosiologi dan muzik. Kebanyakan karya beliau ditulis pada waktu malam ketika akhir hayatnya kerana pada waktu siang beliau menghabiskan masa untuk menjaga kebun.
Karya-karya Al-Farabi akhirnya telah menjadi petunjuk dan panduan kepada Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan sarjana-sarjana di Timur dan Barat. Al-Farabi pernah berkata mengenai ilmu logik, "Ilmu ini dapat menolong seseorang mencari kebenaran dalam dirinya dan orang lain atau kebenaran orang lain dari dirinya.". Dalam bidang astronomi, beliau pernah menyangkal dakwaan yang mengaitkan gerhana matahari dengan kematian seorang raja. Beliau berkata, "Dakwaan yang mangaitkan gerhana matahari dengan kematian seorang raja adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh orang gila apatah lagi orang berakal. Ini disebabkan ada ketikanya cahaya matahari dilindungi oleh awan.".
Selain menulis buku, beliau juga aktif menterjemah buku-buku dari bahasa Greek, Parsi, Hindi, China, Mesir, Syria dan lain-lain bahasa. Al-Farabi meninggal dunia pada tahun 950 Masihi ketika berusia 80 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan