Ibnu Haitham (965 - 1038 Masihi)
Nama penuhnya ialah Abu Ali Muhammad Ibnu Al-Hasan Ibnu Al-Haitham. Dilahirkan di Basrah pada tahun 354 Hijrah (965 Masihi) dan meninggal di Kaherah pada 430 Hijrah (1038 Masihi). Di Barat, beliau dikenali sebagai Alhazen dan merupakan bapa optik moden. Sejak remaja lagi, beliau telah menguasai sains, falsafah dan geometri. Beliau berpendapat matematik, sains dan ketuhanan mudah dikuasai ketika usia masih muda.
Ibnu Haitham terkenal sebagai seorang yang teliti dan berhati-hati. Beliau merupakan sarjana dalam ilmu hisab, algebra, geometri, matematik, falak, sains, geografi, astronomi, perubatan, farmasi, falsafah, logik, metafizik, ketuhanan, ilmu kalam, politik, akhlak dan sastera. Pada peringkat awal, beliau memperolehi ilmu sambil bekerja. Walaupun beliau hidup miskin tetapi beliau kaya dengan ilmu pengetahuan.
Ibnu Haitham adalah pengasas ilmu optik dan membuat model kamera pertama pada kurun ke-10. George Sarton dan Dr.Donald menganggap Ibnu Haitham sebagai "The Greatest Student Of Optics Of All Times" kerana sumbangannya dalam bidang optik. Beliau mengkaji sifat biasan cahaya yang melalui dua medium berbeza yang dikenali sebagai Hukum Alhazen. Walau bagaimanapun penulis di Barat telah mengubahnya kepada Hukum Snell.
'Al-Manazir' atau lebih dikenali sebagai 'Optical Thesaurus' merupakan karya beliau yang agung. Antara penemuan beliau ialah cahaya bergerak dengan kelajuan yang tertentu, pembiasan cahaya, pantulan cahaya, bayang, gerhana, menerangkan proses serakan cahaya, kejadian pelangi dan memperkenalkan kaedah uji kaji saintifik di makmal. Tokoj sains Barat, Roger Bacon telah dianggap sebagai orang pertama yang memperkenalkan kaedah uji kaji saintifik di Barat walaupun sebenarnya Ibnu Haitham yang memperkenalkannya dahulu.
Walaupun Ibnu Haitham adalah pengasas optik tetapi ada sesetengah sarjana di Barat tidak mengakuinya. Bagi mereka, Kepler adalah pengasas optik. Ini menunjukkan sarjana Barat tidak beretika kerana mengaku sesuatu yang bukan milik mereka. Beliau adalah saintis pertama menerangkan bagaimana proses penglihatan berlaku melalui mata secara sistematik dan logik. Penerangan beliau ini menolak pendapat saintis Yunani yang mangatakan bahawa proses penglihatan terjadi apabila cahaya keluar dari mata lalu terkena pada objek yang dilihat.
Mutiara kata yang pernah diungkapkan oleh Ibnu Haitham ialah, "Selagi aku masih bernyawa, aku akan gunakan seluruh tenaga dan kekuatan untuk melakukan kegiatan ilmiah supaya dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang yang mencari kebenaran, menyatakan persoalan yang berada dalam pemikiranku dan bekalan untuk hari tua.". Beliau meninggal dunia pada tahun 1038 Masihi ketika berusia 73 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan