Selasa, 26 Jun 2018

Sir Isaac Newton

Sir Isaac Newton (1642 - 1727)

     Beliau dilahirkan di Woolsthorp, England pada tahun 1642. Newton dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan dan tubuhnya sangat kecil. Ayahnya seorang petani yang miskin dan tidak pandai membaca. Di Barat, beliau dianggap sebagai saintis terulung kerana sumbangannya dalam bidang sains. Di sekolah, beliau dianggap sebagai pelajar yang lemah. Disebabkan faktor kemiskinan, ibunya mahu beliau berhenti sekolah. Namun beliau tetap meneruskan pengajiannya sehingga memperoleh Ijazah pertama dalam sastera pada tahun 1665 dan ijazah sarjana sastera pada tahun 1668.
     Ketika itu bidang sastera mengandungi komponen metafizik, matematik dan sains. Beliau mula pakar dalam kimia, agama, fizik dan matematik. Walau bagaimanapun beliau lebih meminati kimia dan agama berbanding bidang lain. Karya sainsnya yang teragung ialah 'Philosophiae Naturalis Principia' yang ditulis pada tahun 1666 dalam bahasa Latin. Beliau juga menulis tentang bidang optik pada tahun 1704, 'On Nature of Acids' pada 1710, 'The Chronology of Ancient Kingdom Amended' pada tahun 1728 dan 'Observations Upon The Prophercies of Daniel and Apocalypse of St.John' pada tahun 1733.
     Negara Barat menganggap Newton sebagai penemu konsep graviti, fenomena pasang surut air, gerhana, gerakan bulan dan planet, kajian mekanik dan gerakan. Sebenarnya konsep graviti telah dahulu dibincangkan oleh saintis Islam pada kurun ke-10 seperti Ibnu Al-Haitham, Al-Khazini, Al-Biruni sementara Al-Kindi telah menerangkan fenomena pasang surut air pada kurun ke-9 lagi. Sementara Hukum Gerakan Newton yang ditemuinya pada kurun ke-17 telah dibincangkan oleh saintis Islam sejak kurun ke-10 lagi.
     Newton juga dikenali sebagai saintis yang kuat agama walaupun pendapatnya berbeza mengenai agama Kristian. Semasa hayatnya beliau pernah berkata, "Jangan kamu ragu terhadap Tuhan pencipta, kerana menurut penelitiannya berdasarkan kepada pergerakan bintang-bintang yang ada sekarang, pergerakan itu tidak mungkin terjadi semata-mata daripada perbuatan tarik-menarik antara satu planet dengan planet lain, tentu ada suatu kuasa lain yang Maha Kuasa yang mengaturkan perjalanannya tanpa terjadi sebarang pelanggaran". Beliau meninggal dunia pada tahun 1727 ketika usianya 85 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan