Isnin, 25 Jun 2018

Al-Khawarizmi

Al-Khawarizmi (780 Masihi - 850 Masihi)

     Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi. Di Barat, beliau dikenali sebagai Algoarismi, Algorism, Al-Karismi, Augrium dan Aurym. Beliau dilahirkan di Khwarizm, Uzbekistan pada tahun 780 Masihi. Beliau mahir dalam bidang matematik, astronomi, aljabar, falsafah, logik, arimetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia. Al-Khawarizmi telah menghabiskan lebih daripada separuh usianya di kota Baghdad iaitu pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan ekonomi.
     Kota Baghdad ketika itu digambarkan sebagai tempat pengumpulan pendapatan negara di mana peluang pekerjaan yang terbuka luas dan keamanan yang tiada tolok bandingnya. Khalifah Abbasiyyah ketika itu ialab Al-Ma'mun memperolehi koleksi buku dengan memaksa musuh-musuhnya menandatangani surat perjanjian yang menyatakan kesediaan memberi buku-buku Yunani yang sangat bernilai. Al-Khawarizmi pernah me jadi utusan khalifah ke Afghanistan dan India untuk membeli atau menyalin teks-teks asli buku bertulisan tangan.
     Al-Khawarizmi juga merupakan perintis aljabar dan hisab. Oleh itu, beliau digelar bapa algebra. Banyaj konsep matematik yang beliau cetuskan, menjadi begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang. Beliau memperkenalkan sistem nombor, angka sifar, penyelesaian persamaan trigonometri (kosinus, sinus dan tangen), teorem segitiga sama dan segitiga sama kaki, formula (luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalan geometri).
     Sebelum tamadun Islam, penggunaan matematik dalam astronomi sangat sedikit kerana kemunduran pengetahuan ilmu matematik ketika itu. Penggunaannya hanya terhad kepada aritmetik dan geometri sahaja. Beliau adalah saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830 Masihi. Beliau juga pernah menghitung garis khatulistiwa bumi dan mendapati ukurannya adalah 40.248 km berbanding nilai yang ditemui pada masa sekarang ialah 40.070 km atau kiraan Bethlumus hanya 38.340 km.
     Dapatan ini menunjukkan betapa teliti dan persisnya hitungan yang dibuat oleh Al-Khawarizmi. Beliau pernah berkata, "Cendekiawan pada masa lalu dan akan datang akan terus menulis buku-buku dalam pelbagai bidang kepakaran. Kesemua ini dilakukan sebagai satu ibadat dan mengharapkan balasan daripada Allah dan manfaatnya diperolehi oleh generasi akan datang." Buku-buku yang ditulisnya berupa penemuan baru sesuatu ilmu, menulis semula buku-buku terdahulu yang sukar difahami dalam bentuk yang mudah difahami dan menambahbaik kekurangan yang ada pada buku terdahulu tanpa bersangka buruk terhadap penulisnya.
     Segala pekerjaan ini dilakukan dengan perasaan rendah diri. Ketinggian ilmu Al-Khawarizmi telah diakui oleh sarjana-sarjana Barat antaranya G.Sarton. Al-Khawarizmi meninggal dunia pada tahun 850 Masihi ketika berusia 70 tahun. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan