Ibnu Sina (980 Masihi - 1037 Masihi)
Beliau terkenal dalam bidang perubatan, sarjana, ahli falsafah dan negarawan. Nama sebenarnya ialah Abu Ali Al-Husein bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina. Di Barat, beliau dikenali dengan nama Avicenna. Dilahirkan pada bulan Safar 370 Hijrah bersamaan Ogos 980 Masihi Bukhara (kini terletak di Republik Uzbekistan). Ayahnya seorang pembesar negera. Beliau adalah seorang yang pintar sejak kecil lagi dan kuat daya ingatan. Beliau juga mempunya seorang adik yang bernama Mahmud.
Beliau mempelajari bahasa Arab dan Parsi sejak kecil lagi. Ibnu Sina dididik oleh seorang guru yang datang ke rumahnya untuk mengajar Al-Quran dan sastera ketika usianya lima tahun. Selain Al-Quran dan sastera, beliau juga mempelajari tafsir, fikh, usuluddin dan tasawuf. Beliau adalah seorang yang cekap dan mempunyai kemampuan luar biasa.
Ketika berusia sepuluh tahun beliau tekah menghafal Al-Quran dan dapat menguasai ilmu-ilmu agama. Beliau juga telah mempelajari falsafah ketika berusia sepuluh tahun. Ilmu Hitung India dipelajarinya daripada saudagar rempah. Ketika berusia 16 tahun beliau telah dapat menguasai ilmu perubatan. Ibnu Sina mengambil masa selama 18 bulan untuk menguasai ilmu perubatan dengan mempelajarinya secara bersendirian tanpa guru.
Ilmu logik, geometri dan astronomi telah dipelajari daripada Abu Abdullah, seorang ahli falsafah terkemuka. Metafizik adalah ilmu terakhir yang dikuasainya daripada karya Al-Farabi. Abu Bakr Al-Khawarizmi juga adalah gurunya ketika kecil. Menurut Arthur Hyman & James J.Walsh, Ibnu Sina terpaksa membaca buku tulisan Aristotle iaitu Metaphysics of Aristotle sebanyak 40 kali tetapi masih tidak memahaminya. Beliau berkata, "Aku pelik dengan penulis buku ini kerana walaupun telah berulang kali membaca sebanyak 40 kali serta dapat menghafal kandungan buku tersebut tetapi masih tidak dapat memahaminya.". Beliau terus berkata, "Buku ini terlalu sukar untuk aku fahami.".
Suatu hari beliau pergi ke kedai buku dan seorang tukang jilid berkata kepadanya, "Belilah buku ini kerana harganya murah iaitu tiga dirham. Pemilik buku itu memerlukan wang.". Ibnu Sina pun membeli buku tersebut dan mendapati bahawa buku itu adalah buku karya Al-Farabi yang menerangkan metafizik Aristotle. Dengan bantuan buku Al-Farabi itu, beliau terus membaca tanpa jemu sehingga dapat memahami karya Aristotle. Beliau dididik dan dibesarkan di daerah Bukhara, pusat komunikasi antara negara Timur dan Barat. Ketika itu sudah ada ramai ahli falsafah dan pujangga terkenal seperti Abu Shukur, Abul Muayyad, Abul Hasan Shahid, Al-Biruni, Firdausi dan ramai lagi.
Sebagai seorang Muslim, beliau sentiasa mengamalkan segala perintah dan suruhan agama seperti solat dan membaca Al-Quran. Apabila menghadapi sesuatu masalah, beliau akan berdoa memohon bantuan daripada Allah SWT melalui solat yang ditunaikan di masjid. Selepas mengerjakan solat, segala permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan. Ibnu Sina seorang yang tekun menimba ilmu pengetahuan. Beliau tidak akan tidur pada waktu malam dan siang kecuali setelah banyak membaca memperolehi ilmu pengetahuan pada hari tersebut.
Apabila berasa mengantuk dan keletihan ketika membaca buku, beliau akan meminum secawan air dan akan meneruskan pembacaan sehinggalah benar-benar mengantuk. Ketika tidur pula biasanya beliau akan bermimpi bagaimana menyelesaikan persoalan-persoalan yang belum terjawab. Sewaktu berusia 18 tahun beliau telah berjaya menguasai ilmu perubatan dan dilantik sebagai doktor istana.
Beliau telah diberi penghormatan dan hak istimewa untuk menggunakan perpustakaan diraja kerana dapat mengubati penyakit Sultan Nouh ll bin Mansur, yang sebelum ini gagal diubati oleh doktor-doktor lain. Peluang ini digunakan oleh beliau untuk membaca buku-buku falsafah dan perubatan di perpustakaan yang penuh dengan beraneka jenis buku itu. Beliau pernah berkata, "Aku mendapati koleksi buku kuno yang belum pernah aku temui sebelum ini. Ada juga buku-buku yang belum pernah disentuh lalu aku membaca dan mengambil ilmu daripadanya.".
Walaupun pakar dalam perubatan tetapi beliau tidak menjadikan itu sebagai kerjaya mencari rezeki. Ini kerana ilmu kedoktoran yang dimiliki telah dicurahkan juga kepada doktor-doktor lain. Beliau juga dikenali sebagai 'Ensiklopedia Hidup' disebabkan kepakarannya dalam pelbagai bidang ilmu. Ketika berusia 21 tahun, beliau mula menulis buku. Ibnu Sina seorang yang rajin menulis. Ilmunya diperolehi melalui penyelidikan, pembacaan dan pengalaman. Dalam maca satu hari beliau boleh menulis sebanyak 50 halaman dan tujuh buah buku dalam masa setahun.
Kebanyakan masanya ditumpukan kepada penulisan walau di mana berada. Beliau berpendapat bahawa dengan menulis, namanya akan hidup sepanjang zaman walaupun beliau sudah meninggal dunia. Beliau telah menulis sebanyak 456 buah buku. Karya beliau yang terkenal ialah As-Syifa' (The Book Of Discovery) dan Al-Qanun Fi Al-Tibb atau Canon Of Medicine (di Eropah) disifatkan oleh The Encylopaedia Britanica sebagai The Single Most Famous Book In History Of Medicine In East Or West.
Buku tersebut mempunyai lebih sejuta kalimah dan telah digunakan di universiti Eropah selama 700 tahun lamanya. Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Latin, Hebrew, Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Itali. Dalam abad ke-16, buku ini telah diulang cetak lebih 21 kali. Ahli sejarah moden telah mengakui bahawa ilmu perubatan Barat banyak dipengaruhi oleh perubatan Muslim. Tanpa sumbangan pakar perubatan Islam, perubatan moden tidak akan mencapai tahap seperti hari ini.
Beliau juga telah menerangkan berkaitan penyakit ulser, batuk kering, insomnia, kanser, tumor, sakit puan, buah pinggang, rabies, meningitis, keracunan, fisiologi, patologi dan psikoterapi. Beliau adalah saintis pertama yang menjumpai enam otot yang mengawal gerakan bola mata dan perintis penyakit saraf. Ibnu Sina merupakan doktor pertama yang bercakap mengenai tumor otak dan menggunakan ubat bius semasa pembedahan.
Di bidang fizik pula, beliau telah mengkaji gelombang bunyi dan membuktikan cahaya bergerak lebih laju daripada bunyi. Ibnu Sina adalah saintis pertama yang menjumpai kesan eloktrostatik apabila suatu hari beliau menjumpai sejenis kayu yang digosok dengan kain lembut dapat menarik jisim halus. Dalam bidang mekanik, beliau telah menerangkan prinsip inersia iaitu, "Tidak ada jasad yang mula bergerak atau berhenti dengan sendiri.". Ibnu Sina juga menguasai ilmu muzik, syair, teologi, politik, matematik, kimia, sastera dan kosmologi.
Ibnu Sina pernah berkata, "Aku lebih suka hidup berkat dan berkhidmat kepada orang ramai walaupun umurku pendek berbanding umur yang panjang tapi sia-sia.". Selain bidang perubatan, beliau pernah menjadi penasihat politik sultan, Pengarah Pentadbiran Kerajaan Samaniyah di Kharmaitam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hamazan dan Perdana Menteri lebih kurang 9 tahun. Beliau meninggal dunia pada tahun 1037 Masihi pada usia 58 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan