Warren Buffett (30 Ogos 1930 - kini)
Pelabur terkemuka pada abad ke-21 Warren Buffett dilahirkan pada 1930 di Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat. Sejak kecil lagi beliau gemar bermain dengan nombor. Ketika beliau berumur enam tahun, beliau pernah membeli gula-gula getah dan air berkarbonat dari kedai datuknya lalu menjualnya untuk mendapat untung.
Apabila Warren mula menabung dan semakin menaruh minat menyimpan wangnya yang semakin bertambah, ayahnya mula membantunya melabur dalam pasaran saham. Beliau mempelajari teori 'pelaburan nilai' dengan melabur dalam syarikat yang berpotensi dan mempunyai nilai masa depan selepas menelitinya dalam masa yang lama serta melihat prestasi pasaran saham semasa. Pada usia sebelas tahun, beliau telah melabur dalam bursa saham buat kali pertama dan berjaya mendapat keuntungan sebanyak $3 pada setiap minggu.
Dalam usia belasan tahun, Warren seronok bekerja sebagai penghantar surat khabar. Tidak seperti budak penghantar akhbar yang lain, beliau telah membahagikan kawasan penghantarannya secara sistematik agar beliau dapat menghantar jumlah akhbar yang banyak dalam masa yang paling singkat. Keupayaan beliau membuat pelan penghantaran tersebut telah membuahkan hasil bila mana beliau berjaya memperoleh gaji yang lebih tinggi berbanding pekerja biasa yang dewasa.
Warren mengikuti pengajian perniagaan di kolej seperti yang ayah beliau harapkan. Kemudian melanjutkan pelajaran di Colombia Business School di bawah bimbingan Benjamin Graham, individu yang pertama memperkenalkan pelaburan nilai. Selepas tamat pengajian, Buffett memulakan langkah pertamanya sebagai pelabur profesional dengan menubuhkan syarikat pelaburan perkongsian yang memberikan keuntungan lumayan kepadanya. Pada usia semuda 32 tahun, nama Buffett telah tersenarai sebagai seorang jutawan.
Semasa bekerja dalam syarikat pelaburan perkongsian, beliau telah membeli saham Berkshire Hathaway yang menghadapi krisis perniagaan dan mengambil alih perniagaan syarikat. Selepas itu, beliau telah membubarkan pelaburan perkongsian yang memberi banyak keuntungan sebelum ini dan muka melabur sendirian dalam syarikat Berkshire Hathaway. Dengan kejayaannya dalam bidang pelaburan, beliau telah dipilih oleh majalah Forbes pada tahun 2008 sebagai orang paling kaya di dunia.
Selepas menikmati segala kemewahan dari hasil titik peluhnya, Warren Buffett mula menyedari hakikat bahawa nilai wang akan terhakis sekiranya hanya menyimpan tanpa membelanjakannya. Justeru, beliau telah mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan lebih separuh daripada seluruh hartanya kepada masyarakat yang memerlukan. Sehingga kini, beliau masih melalui kehidupan serba mewah tetapi penuh bermakna dengan berkongsi kekayaannya dengan orang-orang yang memerlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan